Monday, May 20, 2024

Mangsa banjir di perak meningkat, satu lagi PPS dibuka

Mangsa banjir di perak meningkat, satu lagi PPS dibuka

Mangsa banjir di perak meningkat, satu lagi PPS dibuka
 Anggota APM Daerah Hilir Perak meninjau kawasan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Batu 9, Jalan Changkat Jong, kelmarin. – foto BERNAMA

IPOH: Keadaan banjir di Perak bertambah buruk apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak menjadikan semua empat PPS di daerah itu dan Kerian bagi menempatkan 373 mangsa daripada 107 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam kenyataan memaklumkan PPS tersebut ialah di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap yang menempatkan 41 mangsa dari 11 keluarga.

“Jumlah keluarga dan mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak pula kekal dengan 185 daripada 55 keluarga manakala di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Kerian turut kekal dengan 90 mangsa daripada 22 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu turut kekal dengan 57 mangsa daripada 19 keluarga dan malam ini terdapat penambahan 10 mangsa banjir daripada dua keluarga di PPS Dewan MPTI,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong masih mencatatkan paras bahaya 4.02 meter (m) berbanding dua meter paras normal.

“JPS turut melaporkan paras air Sungai Raia di Keramat Pulai turut berlaku kenaikan menghampiri aras amaran apabila merekodkan bacaan 44.81m daripada paras normal 43m.

“Selain itu Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang turut berada pada paras berjaga-jaga iaitu 13.10m, melebihi paras normal sungai tersebut pada 10m,” menurut kenyataan itu lagi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. – BERNAMA

Mangsa banjir di perak meningkat, satu lagi PPS dibuka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *