Friday, May 10, 2024

Penjara 654 tahun menanti bapa rogol, cabul 3 anak kandung

Penjara 654 tahun menanti bapa rogol, cabul 3 anak kandung

Penjara 654 tahun menanti bapa rogol, cabul 3 anak kandung
Tertuduh yang berdepan 34 pertuduhan merogol dan mencabul tiga anak kandung dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar hari ini. – Foto NSTP/Alias Abd Rani

MUAR: Seorang bapa yang didakwa merogol dan mencabul tiga anak kandungnya hingga seorang daripada mereka hamil tujuh bulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 34 pertuduhan sejak 2012 hingga bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang hanya mengaku bersalah membabitkan 27 pertuduhan, selepas semua kes itu dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Untuk baki tujuh lagi pertuduhan, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Tertuduh berdepan 20 pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu merogol dua anak kandungnya yang kini berusia 17 dan 18 tahun.

Selain itu, tertuduh turut berdepan 10 pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama dan satu tuduhan bagi Seksyen 14 (a), manakala baki tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 377D kanun sama.

Tujuh pertuduhan yang tertuduh mengaku tidak bersalah ialah lima bagi Seksyen 376 (3), manakala masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 377D.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol dua anaknya sejak mereka berusia sembilan dan 10 tahun di enam lokasi berasingan dalam daerah ini.

Kejadian rogol dan cabul membabitkan anak keduanya yang kini hamil tujuh bulan mula berlaku pada 2012 ketika mangsa berusia lapan tahun dan ia berlarutan sehingga Jun tahun ini.

Anak sulung tertuduh pula dirogol dan dicabul ketika mangsa berusia 10 tahun sejak 2015 dan kali terakhir pada 15 Disember 2022.

Seorang lagi anaknya yang kini berusia 12 tahun pula dicabul ketika berusia enam tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada Oktober lalu.

Semua kejadian itu berlaku di enam lokasi berasingan memandangkan tertuduh dan ahli keluarganya kerap berpindah.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan juga tambahan hukuman bagi Seksyen 16 akta sama, penjara lima tahun dan juga dua sebatan.

Seksyen 14 (a) dan 14 (b), boleh penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan serta tambahan hukuman Seksyen 16 (1), penjara lima tahun serta dua sebatan sementara Seksyen 377D penjara sehingga dua tahun.

Berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh bagi 27 pertuduhan itu, dia boleh dikenakan penjara maksimum 654 tahun dan sebatan 150 kali.

Mengikut fakta kes, kejadian itu terbongkar apabila ibu saudara mangsa mendapati perubahan fizikal terhadap anak kedua tertuduh sebelum menjalani ujian pemeriksaan dan mendapati dia sedang hamil.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, dilaporkan berkata, kejadian itu berlarutan sehingga kini dan tertuduh ditahan pada 28 Oktober lalu selepas laporan dibuat terhadapnya.

Katanya, bapa mangsa turut didapati positif dadah dan siasatan dijalankan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar berjaya membawa kepada pertuduhan di mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan tiada tawaran ikat jamin dikenakan kepada tertuduh dan menetapkan 16 November ini untuk penyediaan fakta kes, menjatuhkan hukuman serta sebutan semula kes tertuduh yang tidak mengaku salah.

Penjara 654 tahun menanti bapa rogol, cabul 3 anak kandung

DISYORKAN UNTUK ANDA :

Media sosial perlu ada lesen operasi selepas ini

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *