Thursday, May 9, 2024

Saintis dedah lapan petua lambatkan penuaan hingga enam tahun

Saintis dedah lapan petua lambatkan penuaan hingga enam tahun

Saintis dedah lapan petua lambatkan penuaan hingga enam tahun
ORANG ramai joging dan menunggang basikal di Prospect Park, daerah Brooklyn di New York City. – AFP

PHILADELPHIA: Sekumpulan saintis mendedahkan lapan langkah kesihatan yang dikatakan mampu melambatkan proses penuaan badan sehingga enam tahun.

Pakar dari Amerika Syarikat (AS) berpandangan mengekalkan berat badan, gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah dalam kawalan, sambil mengamalkan tidur dan pemakanan sihat, melakukan aktiviti senaman dan tidak merokok mungkin boleh melambatkan proses penuaan sekitar enam tahun.

Lapor The Guardian, satu kajian menunjukkan kesemua langkah berkenaan menggalakkan kesihatan jantung yang baik sekaligus mampu memperlahankan kadar penuaan biologi sehingga enam tahun.

Kajian itu berdasarkan data daripada lebih 6,500 orang dewasa dengan purata umur 47 tahun.

Penemuan itu dibentangkan pada persidangan Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika (AHA) di Philadelphia.

Para penyelidik menyatakan individu yang mempunyai kesihatan kardiovaskular baik adalah kira-kira enam tahun lebih muda secara biologi berbanding usia sebenar mereka.

“Penemuan ini membantu kita memahami kaitan antara umur kronologi dan umur biologi serta bagaimana mengikuti tabiat gaya hidup sihat yang boleh membantu individu hidup lebih lama.

“Semua orang mahu hidup lebih lama namun apa yang penting adalah hidup sihat lebih lama supaya kita dapat menikmati dan mempunyai kualiti kehidupan yang baik selama bertahun-tahun lama yang mungkin,” kata ketua kumpulan penulis Life’s Essential 8, Donald Lloyd Jones.

Life’s Essential 8 yang merupakan alat penilaian kesihatan AHA, bertujuan mentakrifkan kesihatan jantung berdasarkan masing-masing empat langkah gaya hidup dan empat penanda kesihatan yang boleh diubah suai.

Untuk mengukur umur fenotip atau biologi individu, para penyelidik memeriksa tahap metabolisme serta fungsi organ.

Selepas mengambil kira faktor sosial, ekonomi dan demografi, pasukan penyelidik berkata, individu yang mempunyai skor Life’s Essential 8 tertinggi dikaitkan dengan umur biologi kira-kira enam tahun lebih muda.

 

Saintis dedah lapan petua lambatkan penuaan hingga enam tahun


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Media sosial perlu ada lesen operasi selepas ini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *