Monday, May 20, 2024

‘MB tersasul, tegas sokong Palestin’

‘MB tersasul, tegas sokong Palestin’

'MB tersasul, tegas sokong Palestin'
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada perhimpunan solidariti Palestin Pahang semalam – Gambar NSTP/Asrol Awang

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui tersasul menyebut ‘Palestin hancur’ ketika berucap pada Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata beliau selaku penyelaras sekretariat himpunan itu terpanggil mengulas isu yang sengaja ditularkan di media sosial.

Katanya, penularan video itu susulan kesilapan kata Menteri Besar Pahang ketika berucap yang menyebut perkataan itu.

“Saya berada di tempat kejadian ketika Menteri Besar Pahang berucap penuh semangat dan ketika itu berlaku kesilapan tutur kata.

“Saya segera memaklumkan kepada Menteri Besar dan beliau segera membetulkan kesilapan dan mengaku tersasul dan minta kesilapan itu tidak dihebahkan kepada umum,” katanya.

Fadzli berkata, Menteri Besar tidak langsung berniat menyokong Israel dan tidak sepatutnya kesilapan itu ditularkan di media sosial.

“Banyak benda lain yang boleh dihebahkan kepada umum pada himpunan itu iaitu Kerajaan Pahang menyumbang RM100,000 kepada Tabung Palestin 2.0.

“Pada masa sama, Menteri Besar dengan nada tegas dan berani kecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 20 saat itu, yang disunting memetik Wan Rosdy menyebut ‘Palestin hancur’ sebelum beliau meminta maaf atas kesilapan itu.

Pada himpunan itu semalam, lebih 6,000 orang menyertai himpunan yang dianjurkan Kerajaan Pahang itu bagi melahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib malang rakyat Palestin yang terus ditindas, dizalimi dan dibunuh rejim Israel.

Pahang menjadi negeri pertama di negara ini menganjurkan himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Palestin.

Himpunan itu menunjukkan kebencian rakyat negara ini, khususnya Pahang terhadap Israel yang melakukan kekejaman dan kezaliman kepada rakyat Palestin.

‘MB tersasul, tegas sokong Palestin’

DISYORKAN UNTUK ANDA :

Media sosial perlu ada lesen operasi selepas ini

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *